17.10.10

Hiburan Yang Bermanfaat

Mencari karya-karya seni lagu Islami yang mendukung ketulenan idea, bukanlah sesuatu yang mudah. Tambahan pula, kita dipenatkan oleh sebahagian munsyid yang cuba bereksperimen tidak tentu arah. Hanya segelintir sahaja yang konsisten, menampakkan jati diri yang tinggi, berkadar terus dengan bakat, dan yakin dengan genre yang dibawa. Salah seorang daripada segelintir itu adalah seorang karyawan prolifik [...]

Mencari karya-karya seni lagu Islami yang mendukung ketulenan idea, bukanlah sesuatu yang mudah.

Tambahan pula, kita dipenatkan oleh sebahagian munsyid yang cuba bereksperimen tidak tentu arah.

Hanya segelintir sahaja yang konsisten, menampakkan jati diri yang tinggi, berkadar terus dengan bakat, dan yakin dengan genre yang dibawa.
Salah seorang daripada segelintir itu adalah seorang karyawan prolifik dari seberang iaitu Aunur Rofiq Lil Firdaus atau lebih dikenali sebagai OPICK.
Semenjak 2005, beliau terus konsisten menyumbangkan album-album Ramadan yang luar biasa. Bagi mereka yang terikat hanya kepada suara, pasti komen pantasnya akan berkata bahawa banyak lagu Opick kedengaran sama. Tetapi bagi pendengar yang menajamkan pendengaran kepada setiap satu butiran suara dan bunyi yang bergabung membentuk album Istighfar (2005), Semesta Bertasbih (2006), Ya Rahman (2007), Cahaya Hati (2008) dan Di Bawah Langit Mu (2009), OPICK ternyata seorang seniman yang berada di kelasnya yang tersendiri.

Kali pertama disapa lagu Tombo Ati melalui album kompilasi Tausiyah Dzikir dan Nasyid oleh Ustadz K. H. Muhammad Arifin Ilham, saya berazam untuk tidak terlepas mengikuti perkembangan OPICK. Alhamdulillah, pada Ramadan 1431 ini, dengan bantuan sahabat saya yang juga peminat tegar OPICK iaitu Abu Fatihah, album terbaru OPICK berjaya diperolehi.

Shollu Ala Muhammad”, menghidangkan kepada kita 10 buah lagu pop Islami yang mengekalkan sentuhan seperti album-album sebelumnya. Kekayaan karya OPICK bukan sekadar pada susunan muzik yang di luar kotak serta berani meninggalkan lenggok Arab tradisional, malah lirik-lirik yang diungkapkan amat menyentuh jiwa setiap yang mendengar. Terasa benar yang pengungkapan mesej itu datang dari tulisan serta sebutan yang bersungguh memaksudkan seruan memanggil manusia kepada Tuhan.

Trek 1 Shollu Ala Muhammad, trek 5 Sholawat Muhammad dan trek 6, Pengakuan (I’tiraf) memaparkan pengolahan moden untuk syair-syair memuji Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam serta syair Abu Nawas yang pernah dibentangkan dengan begitu halus oleh Raihan pada tahun 2000 yang lalu.
OPICK juga mengajak Fira ‘FLO’ berduet sama. Fira adalah juara pertama Festival Lagu Opick (FLO) peringkat remaja. Beliau bergandingan dengan OPICK untuk lagu Andai Waktu Memanggil, lagu yang sangat mesra dengan telinga dan jiwa saya. Selain Fira, OPICK juga mengajak Inggrid, juara peringkat kanak-kanak Festival Lagu Opick (FLO) berduet bersama di dalam persembahan lagu I’tiraf. Suntikan baru yang sungguh menyegarkan.

Namun dalam kesemua lagu yang memenuhi album Shollu Ala Muhammad ini, trek 8 yang memaparkan lagu Tiada Duka Yang Abadi serta trek 9 dengan lagu Nyanyian Sepi adalah yang paling lekat ke jiwa saya.
OPICK tidak pernah mengecewakan, biar pun saya sentiasa terlepas peluang menghadiri persembahan langsung beliau.
Senarai lagu di dalam album Shollu Ala Muhammad ini adalah seperti berikut:
  1. Shollu Ala Muhammad feat Finalis FLO
  2. Allahu Akbar
  3. Andai Waktu Memanggil feat. Fira FLO
  4. Dengan-Mu Aku Tenang
  5. Sholawat Muhammad
  6. Pengakuan (I’tiraf) feat.  Inggrid FLO
  7. Dunia Tanpa Cinta-Nya feat. Dian FLO
  8. Tiada Duka yang Abadi
  9. Nyanyian Sepi
  10. Istighfar

Terima kasih kepada Abu Fatihah yang menghadiahkan saya album ini. Saya sudah ada album lain untuk memberhentikan ‘Mahermania’ anak-anak saya yang tidak habis-habis meminta diputarkan lagu Insha Allah dan Baarakallaah itu.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

1 comment:

Anonymous said...

bestnyer lagu opick.tertitik air mata seketika