Rayyan tersenyum. Beliau baru sahaja pulang ke Jordan selepas lama menetap di sana. Bekerja sebagai guru di sebuah sekolah agama di negara bekas jajahan Soviet itu.
“Oh, banyak cerita menarik. Tapi ada peristiwa yang saya nak kongsi dengan kamu. Tentang bid’ah membid’ah ni”, kata Rayyan.
“Hah, kat Dagistan pun ada masalah ini ke?”, saya sedikit terkejut.
“Ramai syabab Arab yang ikhlas datang berdakwah. Mereka memang bersungguh-sungguh. Tapi dakwah tanpa hikmah, lebih merosakkan dari memperelokkan”, sambung Rayyan.
“Betul. Orang Malaysia kata, seperti tikus membaiki labu”, saya tersenyum.
“Tikus memang makan labu. Maksud awak, pendakwah jadikan dakwah mereka sebagai profesyen ke?”, tanya Rayyan.
“Eh, tak terfikir pula saya. Itu isu lain. Maksud seperti tikus membaiki labu ialah, usaha nak memperbaiki tu lebih merosakkan berbanding mengelokkan”, saya cuba menjelaskan.
“Oh, begitu”, kata Rayyan sambil ketawa.
Rayyan menceritakan kepada saya bagaimana di Dagistan, ada satu adat yang pelik. Apabila mereka dengar nama Rasulullah disebut, mereka akan berdiri.
Ketawa saya dibuatnya. Ia mengingatkan saya kepada adat orang Turki di Istanbul semasa melawat maqam Abu Ayyub al-Ansari. Kerana terlalu memuliakan sahabat Nabi itu, ramai yang keluar dari maqam itu secara jalan berundur. Terasa biadab menunjuk belakang kepada Abu Ayyub al-Ansari!
Begitu jugalah agaknya dengan orang Dagistan. Kerana begitu memuliakan Rasulullah SAW, mereka sampai berdiri apabila nama baginda disebut.
HORMAT
Dalam hal inilah, pendakwah mesti berhati-hati. Apa yang mahu diperbetulkan ialah cara menunjuk hormat. Jika tidak kena cara, rasa hormat itu pula yang terhapus. Hal inilah yang sering dilupakan oleh pemuda yang bersemangat tinggi terhadap dakwah. Saya berkongsi kesedihan apabila rakan-rakan dari negara bekas jajahan Soviet, sering mengadu tentang gelagat pendakwah sukarelawan Arab yang mencetuskan rasa gelisah di dalam masyarakat, khususnya dalam bab mencela Tasawuf dan Tareqat Sufi.
Selama duduk di bawah jajahan kuasa Soviet, negara-negara Asia Tengah dan Balkan memang hidup dalam penderitaan. Usahkan mahu membentuk usaha agama, menggunakan nama Islam pun tidak dibenarkan. Islam secara khusus, bersama agama-agama yang lain, ditekan sehabis-habisnya. Pada masa inilah amalan Tareqat berperanan mengekalkan elemen Islam dalam tempoh hampir seabad tanah ini tanpa kebebasan beragama. Tentu sahaja banyak kesilapan dan kesalahan dalam amalan tersebut, tetapi untuk ‘orang luar’ datang berdakwah mencela dan memaki hamun amalan Tareqat, ia mencetuskan kacau bilau di dalam masyarakat.
Antara negara yang banyak mengalami ketegangan ini ialah Bulgaria, Chechnya, Dagistan dan beberapa kawasan lain.
“Apa yang anta buat Sheikh Rayyan?”, saya menyambung bual.
“Semasa awal-awal saya bersama dengan penduduk di tempat tinggal saya itu, tentu sahaja saya berdiri bersama mereka.”, kata Rayyan.
“Selepas beberapa ketika, saya beritahu mereka, alangkah baiknya kalau sambil berdiri kita berselawat”, sambung Rayyan.
“Meriahlah ceramah anta ya. Sebut sahaja Rasulullah, semua bangun dan berselawat”, saya terasa lucu dengan pendekatan dakwah Rayyan.
“Ya, sehingga saya terpaksa mengurangkan sebutan nama Muhammad, untuk melancarkan kuliah”, kata Rayyan yang turut ketawa bersama saya.
“Lama-lama, apabila mereka sudah biasa dengan amalan selawat, barulah saya yakinkan mereka bahawa untuk berselawat, sambil duduk pun boleh. Akhirnya tertegaklah satu Sunnah, dan terhapuslah satu Bid’ah”, Rayyan menghabiskan ceritanya.
Kisah Rayyan yang dikongsinya bersama saya ketika kami sama-sama belajar di Jordan dahulu, sering saya kenang. Ia suatu contoh mudah, betapa besarnya peranan sabar dan hikmah dalam usaha memperbaiki dan memperbetulkan amalan manusia.
Pendekatan yang sama, cuba saya gunakan dalam menangani banyak kesulitan beragama di hari ini.
Maka usaha untuk mengurangkan amalan kenduri arwah di dalam masyarakat, mestilah seiring dengan usaha menggalakkan semangat kejiranan. Jika penduduk sebuah kampung, sayang menyayangi seperti ukhuwwah para Sahabat, tidak perlu menunggu hari kematian untuk berbuat baik.. malah masak memasak dan berkongsi makanan menjadi kebiasaan, sebelum datang hukum dan tuntutan.
Dan seorang pendakwah tidak mungkin dapat menyemai sifat kasih sayang sesama jemaah di masjidnya, jika dia sendiri tidak menyayangi justeru tidak disayangi.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
My Comments:
Sifat hormat yang disebutkan oleh ustaz amat penting untuk kita amalkan, tak kira sama ada untuk berdakwah ataupun dalam menegur seseorang. Guru yang sedang memarahi anak muridnya tetap perlu mengamalkan sifat hormat, dengan tidak mencaci, mempersenda dan menghina.
Untuk memastikan mesej yang ingin kita sampaikan dapat diterima dengan elok oleh audien, perasaan mereka amatlah perlu dijaga. Pepatah yang biasa kita dengar "Bnyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam" perlu diaplikasikan. Tak semua audien boleh menerima cara penyampaian kita. Jadi kita perlu lebih berhati-hati dalam menegur, menulis dan apa-apa lagi lah yang lain.
Sebab?
Kerana kita hidup bermasyarakat. Kita dijadikan saling memerlukan antara satu sama lain. Takkan boleh untuk kita hidup sendiri. Jika kita mewujudkan 'gap' dengan mereka, akibatnya kita sendiri yang akan menemui kesusahan.
Antara Matlamat Dengan Ukhwah
Yang mana satu perlu dicapai terlebih dahulu antara dua element di atas? Saya tinggalkan ia sebagai assignment kepada anda. Insyaallah post ni akan diupdate dari masa ke semasa.
And , remember to express your reaction at "rase gane" column below.
2 comments:
pandangan ikhlas saya: emm, kalau saya, saya utamakan ukhwah dulu. krn pabila kita dh knl seseorg tu, barulah kita tahu cara terbaik utk nasihatinya. (ni dlm konteks ke tak? haha) lgpun, kwn lebih mudah terima nasihat somebody yg dia kenal kan? kalau begitu, kedua-dua, matlamat DAN ukwhah dhpun dicapai. matlamat nak beransur-ansur ajaknya kpd islam, dan utk menjadi saudaranya juga dh tercapai...ni betul x dlm konteks? nape aku rse cm aku tersasar je..haha
ha'ah..betullah tu.. kena bezakan mana satu yang paling perlu untuk dicapai dahulu..
Post a Comment